ESPN beri tumpuan kandungan tempatan
Astro | 2 Feb 2010 | Kongsi di Twitter

ESPN Star Sports Sdn. Bhd. (ESPN Star Sport) menyasarkan 50 peratus programnya mengandungi kandungan tempatan dalam tempoh dua tahun lagi.
Pengarah Pembangunan Perniagaannya, Hasnan Hassan berkata, sasaran itu akan dapat dicapai memandangkan pada waktu ini kandungan tempatan bagi ESPN Star Sport melebihi 30 peratus.
‘‘Kami mengambil pendekatan dengan memberi tumpuan kepada sukan-sukan tempatan. Kami tidak hanya tertumpu kepada acara yang berlangsung di Lembah Klang sahaja.
‘‘Sekiranya terdapat acara-acara sukan di luar kawasan, kami tetap akan memberikan liputan untuk dimuatkan di dalam Sportcenter Malaysia. Ia merupakan cara ESPN Star Sport membangunkan sukan tempatan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Hasnan, pihaknya akan membuat liputan acara sukan yang melibatkan atlet-atlet tempatan yang memerlukan pendedahan kepada orang ramai.
‘‘Sebagai contoh kami telah pergi sehingga ke Terengganu untuk membuat liputan Monsoon Cup dan sebagainya.
‘‘Kami serius dalam membantu perkembangan sukan kerana ESPN Star Sport mempunyai kelengkapan penerbitan. Oleh itu apa yang kami buat sekarang adalah Sportcenter oleh orang Malaysia untuk orang Malaysia sebagai komitmen berterusan kami,’’ jelasnya.
Pada masa ini, ESPN Star Sport telah melancarkan program berunsur berita Sportcenter Malaysia dalam Bahasa Malaysia yang disiarkan pada pukul 10.30 malam.
Hasnan berkata, tujuan utama program tersebut dilancarkan adalah untuk memenuhi permintaan penonton Malaysia yang sebilangan besarnya adalah Melayu. -Utusan

Artikel Sebelum & Selepas:






