Rangkuman keputusan Piala Malaysia – 26 September 2009
Piala Malaysia 2009 | 27 Sep 2009 | Kongsi di Twitter
Aksi sulung Piala Malaysia musim ini menyaksikan pasukan pilihan, Selangor, Perlis, Johor FC dan Kelantan bermula langkah kanan apabila menang ke atas lawan masing-masing semalam.
Juara Liga Super musim ini, Selangor yang berada di Kumpulan D, berjaya meraih tiga mata di tempat lawan selepas mengalahkan Sabah di Stadium Tawau hasil jaringan Safee Sali pada minit ke-24.
Di Stadium Hang Tuah, Perlis menepati status selaku barisan pilihan Kumpulan A apabila membenam Melaka 2-0 dalam aksi lebih menyebelahi pelawat itu.
Ahmad Fakri Saarani meletakkan Perlis di depan apabila menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-70 dengan menyudahkan umpanan lintang Azi Shahril Azmi dengan rembatan menewaskan penjaga gol, Mohd Jibrail Kamaron.
Penjaga gol itu sekali lagi tertewas pada minit ke-81 apabila Mohd Shazwan Zainon memanfaat ruang diberi benteng tuan rumah untuk meledakkan cubaan yang tepat ke sasaran.
Johor FC yang berada dalam Kumpulan C berjaya mengalahkan Kuala Lumpur di tempat lawan hasil jaringan tunggal Farid Ideris pada minit ke-48.
Kelantan yang dibimbing jurulatih baru B. Sathianathan berjaya mengalahkan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Bandaraya seterusnya berada di tangga teratas Kumpulan E.
Walaubagaimanapun pasukan tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan dengan gol pertama yang dijaringkan oleh S.Thinagaran pada minit ke-39. Keputusan separuh masa pertama berakhir dengan Pulau Pinang mendahului pasukan Kelantan dengan 1-0.
Memasuki babak kedua perlawanan, pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti yang mudah diambil oleh Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-61 untuk menyamakan kedudukan.
Anak didik B. Sathianathan yang tidak rela berkongsi mata dengan Pulau Pinang menggandakan usaha mengasak kubu lawan. Hasilnya, pada minit ke-73, penyerang sensasi Kelantan, Khalid Jamlus menghasilkan gol kedua Kelantan membolehkan pasukan itu berada di tangga teratas Kumpulan E.
Juara bertahan, Kedah tidak berada pada prestasi terbaik mereka dan ia membawa padah apabila mereka diikat 1-1 oleh Tentera dalam perlawanan pembukaan kempen Piala Malaysia di Stadium Darulaman, malam tadi.
Kedah yang diletakkan dalam Kumpulan E hanya menunggu sehingga minit ketujuh apabila Faizal Abu Bakar mudah menolak masuk hantaran lintang kiri Sabre Abu, namun pesta gol yang diharap ke atas pasukan belasahan Liga Perdana, tidak kesampaian.
Sebaliknya, Tentera yang mengekang asakan bertali arus tuan rumah, berjaya mencuri gol penyamaan pada minit ke-78 menerusi sepakan percuma jarak 30 meter yang terus melepasi jangkauan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias.
Pahang turut mencatat keputusan yang sama menentang KL PLUS di Stadium Darul Makmur, gol tunggal skuad Tok Gajah itu dijaringkan oleh Abdul Rahman Abdul Kadir pada minit ke-46 sebelum Mohd. Lot Abu Hassan mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-59.
Negeri Sembilan yang diundi dalam Kumpulan B turut mencatat kemenangan apabila mengalahkan pasukan tuan rumah Johor yang sebelum itu membuat keputusan mengejut merehatkan jurulatih, Nasir Yusof menyaksikan Johor kecundang 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.
Kedua-dua gol skuad rusa itu disumbangkan penyerang kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak pada minit ke-28 dan 41 manakala gol sagu hati Johor yang kini dibimbing jurulatih sementara, Wan Mustafa Wan Ismail dijaringkan Rizar Roslan pada minit ke-77.
Dalam satu lagi saingan Kumpulan B, Sarawak kecundang di tempat sendiri kepada Terengganu 0-1 apabila mereka dihukum melalui jaringan Khairul Izwan Khalid pada minit ke-63.
Kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain apabila Abang Mohd. Za’afari dari Sarawak dan Mohd. Saufi Hamid dari Terengganu diperintah keluar padang pada minit ke-65.
Turut mencatat kemenangan ialah Polis Diraja Malaysia yang menang ke atas KM Naza 1-0.
Pemain Perak, Razali Umar Kandasamy memberikan peringatan kepada K Rajagobal mengenai kemampuannya menjelang Sukan Sea Laos apabila meledakkan gol dalam kemenangan 1-0 Perak ke atas UPB-MyTeam di Di Stadium Petaling Jaya. -Utusan/BH

Artikel Sebelum & Selepas:






