Rohaizat Othman Calon BN Di DUN Permatang Pasir
DUN Permatang Pasir | 14 Aug 2009 | Kongsi di Twitter
Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir 25 Ogos ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Operasi BN di Bukit Merah, Jalan Permatang Pauh di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pemilihan Rohaizat sebagai calon adalah tepat kerana beliau adalah yang terbaik untuk mewakili BN berdasarkan latar belakang pendidikannya, berwibawa dan merupakan tenaga profesional.
Katanya, pemilihan Rohaizat juga dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden parti, yang kini berada di luar negara.
“Selepas kita menilai keadaan di Permatang Pasir dan mendapatkan pandangan pemimpin tempatan serta meninjau perwatakan dan hubungannya dengan masyarakat maka keputusan dibuat untuk menamakan Rohaizat sebagai calon kita,” katanya disambut tepukan gemuruh daripada kira-kira 1,000 penyokong BN yang hadir.
Seorang penasihat undang-undang syarie, Rohaizat merupakan Ketua Pemuda Umno cawangan Mengkuang Titi sejak 1996 sehingga sekarang dan merupakan anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Permatang Pauh dari tahun 2002 hingga 2008.
Beliau menerima pendidikan di Sekolah Agama Al-Mashoor Pulau Pinang sebelum melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Selain bergiat dalam politik, beliau juga aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai Setiausaha Kelab Sukan DUN Penanti sejak 2006, pengarah penerbitan Direktori Wakil Rakyat penggal 2004 hingga 2009, pengerusi Koperasi Gerakan Desa Wawasan (GDW) Mengkuang Berhad sejak 2004, Exco Persatuan Homestay Malaysia sejak 2003 dan Setiausaha Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mengkuang sejak 2003.
Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Khairul Niza Abdul Razak, seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia, mereka dikurniakan seorang anak, Aiman Hidayat, 9.
DUN Permatang Pasir kosong berikutan kematian wakil rakyatnya dari PAS, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, pada 31 Julai lepas kerana serangan jantung.
Allahyarham mewakili kerusi DUN Permatang Pasir selama tiga penggal sejak tahun 1999.
Pada pilihan raya umum lalu, Mohd Hamdan yang memperoleh 11,004 undi mengalahkan calon BN Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos ini untuk penamaan calon dan 25 Ogos sebagai tarikh pengundian.
DUN Permatang Pasir mempunyai 20,290 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu hanya seorang pengundi pos.- BERNAMA

Artikel Sebelum & Selepas:






