Untuk paparan terbaik, sila gunakan pelayar Web Firefox/Google Chrome/Opera resolusi 1024 X 768

Barisan pemain Malaysia ketika turun dalam perlawanan sulung menentang Timor Leste yang berkesudahan Malaysia 11-0 Timor Leste. Foto: laoseagames2009.com

Kemenangan besar 11-0 ke atas Timor Leste dalam perlawanan sulung bola sepak lelaki Kumpulan A Sukan SEA Laos di Vientiane kelmarin masih belum menggambarkan tahap kekuatan sebenar skuad bawah 23 negara.

Hakikat ini diakui oleh K. Rajagobal walaupun ketua jurulatih negara itu amat mengalu-alukan kemenangan sulung yang bakal menjadi menyemarakkan semangat dan penyuntik keyakinan pasukan menjelang ujian lebih getir – menentang Vietnam, Ahad ini.

“Sekalipun menang besar dan menepati misi awal kami meraih tiga mata, prestasi pasukan bukanlah di tahap terbaik lagi. Kami masih perlu bekerja lebih keras khususnya dalam perlawanan kedua,” katanya di Vientiane ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Pesta gol Malaysia kelmarin diwarnai dengan hatrik Ahmad Fakri Saarani, dua gol Norshahrul Idlan Talaha di samping satu masing-masing oleh Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, Safiq Rahim, Amar Rohidan, Amirulhadi Zainal dan Baddrol Bakhtiar.

Malah kesebelasan utama di Stadium Nasional kelmarin tidak sesekali dijamin akan dikekalkan apabila mengharungi Vietnam yang menunjukkan kebangkitan mengejut pada minit terakhir permainan untuk mengikat Thailand 1-1, selepas pertembungan Malaysia-Timor Leste.

“Vietnam dan Thailand merupakan dua pasukan yang kuat, pantas dan bagus dalam banyak aspek. Saya mengalu-alukan lawan seperti ini dan keputusan dengan kedua-duanya banyak akan mengukur peluang dan sasaran kita ke separuh akhir.

“Namun setiap pemain kita perlu menunjukkan prestasi yang memuaskan saya dalam latihan tiga hari sebelum menentang Vietnam supaya saya boleh menentukan siapa yang layak untuk membarisi kesebelasan utama,” katanya.

Sementara itu, skuad wanita yang diketuai Malini Nordin pula akan turun membuka tirai liga sepusingan kategori hari ini dengan menentang gergasi Asia Tenggara, Thailand di Stadium Universiti Nasional, Vientiane pada pukul 2.30 petang waktu Malaysia.

Sukan SEA Korat 2007 menyaksikan wanita kita dibelasah Thailand 6-0 malah peluang mereka untuk menyambar sekurang-kurangnya sebutir gangsa sebagai pasukan ketiga terbaik, masih terlalu tipis berikutan kehadiran Myanmar dan Vietnam selain tuan rumah. -Utusan

Related Posts with Thumbnails

CommentLuv Enabled

Artikel Sebelum & Selepas:
blank